Ahad, 31 Julai 2011

Puasa



Yaa Allah! Jadikanlah Puasa Ku Sebagai Puasa Orang-Orang Yang Benar-Benar Berpuasa. Dan Ibadah Malam Ku Sebagai Ibadah Orang-Orang Yang Benar-Benar Melakukan Ibadah.......amin

Selamat menunaikan ibadah puasa

Khamis, 28 Julai 2011

Cuma

Semalam ~ Sudah menjadi sejarah. Hari Ini ~ Apa yang sedang kita lakukan. Esok ~ Hari yang belum pasti. Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua kita lebih baik kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.

HIDUP CUMA DALAM 2 NAFAS:
Nafas Naik. Nafas Turun. Hargailah Nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian ALlah secara percuma dan carilah keredhaan~Nya dalam menggunakannya. Bertaubatlah dalam Nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.

HIDUP CUMA ADA 2 PILIHAN :
 Hidup dalam keredhaan ALlah. Hidup dalam kemurkaan ALLAH.

HIDUP YANG ABADI CUMA ADA 2 TEMPAT :
Kekal di dalam neraka. Kekal di dalam syurga

Sumber : Hamba Allah

Rabu, 27 Julai 2011

Jabatan



Iman : Assalamualaikum, bos

Diri : Waalaikumussalam wbt.lama tak nampak awak.Awak cuti ker?

Iman : Taklah, jabatan kami rasa tuan tak memerlukan kami lagi..

Diri : Laa..kenapa pulak awak cakap camtu? pentadbiran diri saya berterabur sekarang bila jabatan kau takde..

 Iman : Takdelah, kami lihat banyak sangat pekerja tambahan tuan ambil dari jabatan Dosa…..jadi kami rasa terpinggir

Diri : Entahlah, dalam sebulan dua ni, saya tak pernah menggaji mereka.Tapi mereka terlalu rajin buat kerja, bekerja tanpa gaji,tapi banyak jugak duit saya habis...entahlah...

Iman : Tu sebab, kami agak rasa tuan memencilkan kami. Al Quran, zikir, sedekah, solat Malam tak boleh bekerja dengan mereka..kami memang tak boleh bercampur dengan mereka..

Diri : Saya tak pernah minta kau bercuti

Iman : Bagaimana kami ingin bekerja sedangkan tuan sudah punya pekerja tambahan? Saya lihat mereka buat tuan gembira..

Diri : Argh, gembira apanya..Berterabur kerja kat pejabat tu!! Tolonglah, bekerjalah dengan saya kembali

Iman ; Kami sememangnya sudah berkhidmat dengan tuan dari tuan di dalam rahim ibu tuan lagi. Tapi, tuan kadang-kadang mengabaikan kami. Tuan sediakan makanan untuk bos pekerja tambahan, En Dosa, tapi kami, tuan tak sediakan makanan. Kebajikan kami tak terjaga...

Diri : Maafkan aku. kembalilah bekerja dengan saya. Saya janji kebajikan kamu semua saya jaga,En Iman.

Iman : Tuan boleh berjanji, tapi CEO kita akan memantau tuan, Dialah Allah.Tuan takkan tak takut menabur janji tapi melupakannya?

Diri : Janganlah menyalahkan saya.

Iman : Tuan perlu sedar, kami hanya bekerja di dalam syarikat yang bersih, dan amanah..Bukanlah saya nak memandang rendah pada jabatan En Dosa, tapi kami tidak suka cara mereka bekerja. mereka meminggirkan kami

Diri : Dah awak tak melawan?

Iman : Tuan, bagaimana kami ingin menang? Kami terlalu lemah, sedikit pula tu, kebajikan kami langsung tuan tak jaga..Sedangkan kami tidak pernah meminta gaji dari tuan.Cuma kami minta disediakan ruang yang bersih dan amanah untuk kami bekerja. salahkah kami meminta yang sedikit?

Diri : Mereka kadang-kadang lebih menggembirakan saya

Iman : Kalau begitu maafkan kami. Tak dapat rasanya kami bekerja untuk tuan lagi.Tuan perlu memberi kebajikan kepada mereka.Siapalah kami..

Diri : Ehh, jangan..Bekerjalah dengan saya

Iman : Buanglah pekerja itu..Mereka meminta-minta dari tuan.Tuan perlu berhabis jutaan ringgit untuk mereka. Sedangkan kami, percuma khidmat kami

Diri : Aduh, mereka pekerja yang menggembirakan saya.Memang kamu percuma, tapi kamu kadang-kadang bising, ini tak boleh, itu tak boleh..saya rimas

Iman : (senyum sinis)..Maafkan kami tuan..kami minta diri dulu..tak perlulah kami berkhidmat dengan tuan kalau begitu..Kalau tuan perlukan kami, kami sentiasa di sisi..Tuan jangan risau, kami maafkan tuan..

Diri : Jangan pergi..saya sanggup pecat En Dosa..dan ahli jawatankuasanya, vcd, majalah yang melalaikan, dan sebagainya

Iman : Tuan betul-betul sanggup?

Diri : Ya, saya kelam kabut sekarang..Tak tenang, management berterabur..

Iman : Alhamdulillah..kami free of charge..Tuan takkan rugi, sebaliknya tuan beruntung besar.., Allah akan naikkan tuan ke pangkat yang lebih tinggi

Diri : Terima kasih..=)Panggillah ajk kamu bekerja semula. En Iman, saya akan jaga kebajikan kamu, panggillah En sedekah, En Zikir, En Solat,dan semua ahli jabatan kamu ya?

Iman : Alhamdulillah.Moga keuntungan tuan berganda-ganda tahun ini dan seterusnya

Diri : Terima kasih Tuan iman..

(Terima kasih pada penulis n3 ni)

Isnin, 25 Julai 2011

Padang pasir

Dari kejauhan gumpalan debu padang pasir membumbung ke langit. Debu-debu yang berterbangan itu dapat terlihat dari kejauhan bertanda ada satu rombongan kafilah akan datang mendekati kota Mekkah. Rasulullah s.a.w. melihat gumpalan debu dari kejauhan itu segera pulang ke rumah. Nabi Muhammad s.a.w. langsung menyiapkan perbekalan dan membungkusnya. Setelah itu Rasulullah s.a.w. menunggu di pintu gerbang kota Mekkah. Kafilah itu rupanya tidak memasuki kota Mekkah mereka hendak menuju tempat lain. Rasulullah s.a.w. mendekati kafilah itu dan mencari pimpinan rombongan kafilah tersebut. Setelah berjumpa dengan pemimpin kafilah itu Rasulullah s.a.w.  meminta izin untuk dapat ikut serta di dalam rombongan tersebut. Beliau, Rasulullah s.a.w.  telah diizinkan. Rasulullah s.a.w.  mulailah berdakwah kepada mereka, kepada setiap orang dalam rombongan itu Rasulullah s.a.w.  telah sampaikan kebesaran Allah s.w.t. dan mengajak mereka untuk menerima Islam. Setelah semua orang mendapat penjelasan dari Rasulullah s.a.w. , Rasulullah s.a.w. pun meminta izin kepada pimpinan rombongan untuk pulang kembali ke Mekkah. Rasulullah s.a.w. kembali ke kota Mekkah dengan berjalan kaki sedangkan kafilah tersebut telah melalui kota Mekkah sejauh satu hari satu malam perjalanan. Rasulullah s.a.w. hanya inginkan setiap orang memiliki kalimah Laalilaahaillallaah dan selamat dari adzab yang pedih kelak di akhirat.
fikir-fikirkan.....
(muaz mohon ampun dan maaf tak dapat datang ke blog rakan-rakan yang berkunjung ke blog muazkkgp, kerana berlakunya gangguan internet, kabel talian kena curi kot. terima kasih)

Rabu, 20 Julai 2011

Takwa


Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

Dan persiapkanlah bekalan,
sesungguhnya sebaik-baik bekalan
adalah ketakwaan, bertakwalah kepada
Aku (Allah) wahai orang yang berfikir.
(surah al-Baqarah: 197)

Ahad, 17 Julai 2011

Jahat

 
 Dari Amir bin Saad dari bapanya (Saad bin Abi Waqas) r.a katanya:”Sesungguhnya nabi s.a.w telah memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya ‘si penjahat kecil’.
(Muslim)  

Berlaku sebuah kisah di zaman Nabi Ibrahim a.s semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulangkali. Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu, “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.' Lalu dijawab oleh burung tersebut, “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.” Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus-hembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusannya itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan.) Hadis Harian Jakim

Khamis, 14 Julai 2011

Makmum

"Sederhanakanlah solat dan perkirakanlah kemampuan (makmum) dengan kelemahan mereka. Di antara mereka ada orang tua, anak kecil, orang sakit, orang tempat tinggalnya jauh dan orang yang berkepentingan." Ibnu Majah

Rabu, 13 Julai 2011

Harta



Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Peliharalah hartamu baik-baik dan jangan dirosakkan kerana setiap orang diberi suatu pemberian, maka harta itu menjadi milik yang diberi selama hidupnya dan apabila meninggal menjadi milik keturunannya.”
(Muslim)

Huraian
1. Harta sebagai salah satu amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat manusia haruslah disyukuri dengan cara membelanjakannya di jalan yang diperintah oleh agama. Itulah bekalan amalan yang akan dibawa di akhirat kelak.

2. Keserakahan akibat daripada terlalu cinta terhadap harta akan menjadikan seseorang itu mendapat kemurkaan daripada Allah sebagaimana yang telah berlaku terhadap Qarun yang ditelan bumi bersama-sama dengan harta-harta yang dimilikinya.

3. Bagi mengekalkan keselesaan dan kebahagiaan di dunia, Islam menolak beberapa tabiat buruk yang boleh mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip mata daripada senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan papa kedana iaitu sikap suka berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.

4. Pembaziran harta juga disebut sebagai memusnahkan harta benda sama ada secara disedari atau tidak seperti mengabaikan ternakan dan tanaman, tidak menjaga makanan sehingga musnah dan tidak boleh dimakan, membiarkan pakaian kotor sehingga cepat luntur, tidak menyelanggarakan rumah kediaman, kereta dan barang kepunyaan sendiri sehingga cepat rosak dan sebagainya.
Sumber :Hadis Harian Jakim

Selasa, 12 Julai 2011

Senjata


"Sekumpulan sahabat pulang dari satu peperangan, lalu Nabi SAW bersabda: Kamu pulang dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar, iaitu: Mujahadah seseorang hamba terhadap nafsunya."

Diuji dengan nafsu, senjatanya hati..
Diuji dengan hati, senjatanya akal..
Diuji dengan akal, senjatanya ilmu..
Diuji dengan ilmu, senjatanya iman..
Diuji dengan iman, senjatanya takwa...
Sumber: Hamba Allah (syukran ya akhi)

Isnin, 11 Julai 2011

Kawal

Pada suatu ketika di medan jihad, Nabi telah bertanya kepada para sahabatnya, siapakah yang bersedia untuk menjaga khemah beliau pada waktu malam. Dua orang sahabat telah bersetuju. Seorang bernama Ammar bin Yasir r.a dan seorang lagi bernama Abbad bin Basyir r.a. Pada malam itu mereka telah berkawal. Abbad telah mencadangkan kepada Ammar supaya mereka berkawal secara bergilir. Beliau akan menjaga pada sebahagian malam dan Ammar akan berkawal pada sebahagian malam lagi. Ammar telah bersetuju.


Maka Abbad telah berkawal. Sementara berkawal beliau telah mendirikan solat. Dalam solatnya itu, beliau telah membaca surah Al Kahfi. Seorang peninjau musuh telah melihat beliau sedang solat lalu melepaskan panah kepadanya. Satu anak panah telah kena pada badannya. Apabila melihat beliau masih tetap solat, maka musuh telah melepaskan panah yang kedua. Bagaimanapun, Abbad tetap juga solat. Musuh tersebut melepaskan panah yang ketiga, lalu Abbad memberhentikan solatnya. Apabila melihatkan keadaan itu dan terlihat Ammar yang berada di situ, maka pihak musuh menyangkakan masih ramai lagi tentera Islam yang berkawal di situ. Lalu musuh tersebut telah melarikan diri.

Dengan badan yang berlumuran darah, Abbad telah mengejutkan Ammar yang sedang tidur. Melihatkan badan sahabatnya yang berlumuran darah itu, Ammar begitu terkejut. Ammar bertanya mengapa beliau lambat membangunkannya. Dia menjawab, ketika itu beliau merasa sungguh nikmat dan malu dengan Allah untuk menghentikan solatnya. Tetapi apabila panah yang ketiga mengenai dirinya, beliau bimbang akan keselamatan Nabi saw, maka kerana itulah dia memberhentikan solatnya. Kalau tidak sudah pasti dia tidak akan menghentikan solatnya dan rela mati dalam keadaan demikian.





Khamis, 7 Julai 2011

Keldai


Pada suatu hari Luqman Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor keldai, manakala anaknya pula mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang yang berdiri di tepi jalan pun berkata, 'Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa. Dia duduk menaiki keldai sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan kata-kata dari orang ramai maka Luqman pun turun dari keldainya dan diletakkan anaknya di atas keldai.Luqman pula berjalan kaki. Melihat keadaan itu, ada pula orang di pasar  berkata, "Sungguh biadap budak itu, Orang tuanya dibiarkan berjalan kaki sedangkan dia menaiki keldai."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang keldai bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang lain pula berkata lagi, "Lihat dua orang itu menunggang seekor keldai, alangkah siksanya keldai itu membawa beban yang berganda."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari keldai itu dan menyambungkan perjalanannya, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Ada keldai tetapi tuannya berjalan kaki. Alangkah bodohnya!"

Dalam perjalanan pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya.
Wallahualam....


Rabu, 6 Julai 2011

Pengemis


Seorang raja bersama pengiringnya keluar dari istananya untuk menikmati udara pagi. Sedang menikmati  udara pagi, datang seorang pengemis. Raja menyapa pengemis ini: Apa yang engkau inginkan dari dariku?
Pengemis itu tersenyum dan berkata: Tuanku bertanya, seakan-akan tuanku dapat memenuhi permintaan hamba.

Raja terkejut, ia merasa pelik: Tentu saja aku dapat memenuhi permintaanmu. Apa yang engkau minta, katakanlah!

Maka dijawab pengemis: Berfikirlah dua kali, wahai tuanku, sebelum tuanku menjanjikan apa-apa. Rupanya pengemis itu bukanlah sembarang pengemis. Namun raja tidak merasakan hal itu.Timbul rasa angkuh dan tak senang pada diri raja, kerana mendapat nasihat dari seorang pengemis.

Sudah aku katakan, aku dapat memenuhi permintaanmu. Apapun juga! Aku adalah raja yang paling berkuasa.

Pengemis itu menghulurkan mangkuk :
Tuanku isilah apa yang tuanku hendak bagi kepada hamba di dalam mangkuk ini…
Raja menjadi geram mendengar kata-kata pengemis dihadapannya. Segera ia perintahkan pengiring  yang ikut dengannya untuk mengisi penuh mangkuk pengemis kurang ajar ini dengan emas !

Kemudian pengiring raja menuangkan emas dari uncang besar ke dalam mangkuk pengemis. Anehnya, emas dalam uncang besar itu tidak dapat penuhkan mangkuk pengemis.

Raja terus perintahkan pengiringnya mengisi mangkuk itu. Tetapi mangkuk itu tetap kosong. Bahkan seluruh perbendaharaan kerajaan: emas, intan berlian, telah habis di telan mangkuk pengemis. Mangkuk itu seolah berlubang.

Dengan perasaan tak menentu, raja jatuh bersimpuh di kaki pengemis. raja sedar di depannya ini bukan pengemis biasa, lalu raja bertanya :

Sebelum tuan pergi dari tempat ini, dapatkah tuan jelaskan dari apa mangkuk ini di buat...”
Pengemis itu menjawab sambil tersenyum:

Mangkuk ini di buat dari keinginan manusia. Keinginan mendorong manusia yang sentiasa bergelut untuk mengejar keinginan dalam hidupnya. Manusia sering menginginkan sesuatu. Setelah dapat semua keinginan itu, timbul rasa jemu dan ia tidak ada ertinya lagi. Semuanya hilang ibarat emas intan berlian yang masuk dalam mangkuk itu. Kegembiraan, keinginan itu hanya sekejap . Begitulah seterusnya, kemudian datang lagi  keinginan-keinginan lain. Manusia tidak pernah merasa puas dengan apa yang Allah kurniakan.”

Raja itu bertanya lagi :

Adakah ada cara untuk  memenuhi mangkuk itu?”

Ada, bersyukurlah kepada Allah s.w.t. Jika engkau  bersyukur, Allah akan menambah dan mencukupkan nikmat padamu.” kata pengemis itu. ia berjalan kemudian hilang dari pandangan mata.

Muaz-kalau dapat mangkuk tu boleh kaya...

Selasa, 5 Julai 2011

air tin


Sepasang suami isteri baru bercerai dan mereka bertengkar untuk tentukan hak penjagaan anak tunggal mereka.Pastu mereka pergi ke pejabat agama, jumpa kadi nak minta nasihat.
 

Kadi tanya kat perempuan tu.. "kenapa puan rasa paling layak  bela anak ini ? Perempuan tu jawab.. "saya yang mengandungkan anak tu, saya yang melahirkan anak tu. dia keluar dari perut saya."
 
Si suami (ex-suami) terkedu sebab dia tau lepas ni kadi akan tanya dia pulak. "ahhh...sudah...apa benda aku nak goreng kadi tua nih...." Kadi pun tanya si suami.."hah,kamu...bagi alasan kenapa anak tu kamu yang patut bela"
 
"Tuan kadi, saya ada singgit dan saya masukkan  dalam mesin air tin, pastu saya tekan satu butang pilihan, maka keluarlah satu tin air minuman. Saya nak tanya tuan kadi, air tin yang keluar dari mesin tu hak saya atau hak mesin?"

Jawab kadi.."hak kamu le.."

Si ex-suami tu kata lak.."hah...sama le kes ni pun. Kan tuan...kan...kan "

Kadi "patut ler boleh bercerai" bisik dalam hati, sambil tersenyum kadi tu.....

moral cerita ini :

1. Jangan samakan isteri anda macam mesin air tin.

2. Jangan samakan anak anda macam air tin.
3. Anak dan isteri anda adalah amanah dari Allah.

Kota

Pada suatu masa dahulu ada seorang raja, ia membina sebuah kota yang lengkap dengan kemudahan serta penuh dengan kemewahan. Kemudian raja itu pun mengundang rakyat-rakyatnya serta pembesar negara untuk berpesta ria menyaksikan keindahan dan kehebatan kota itu. Pada setiap pintu, pengawal diperintahkan untuk menyoal setiap pengunjung adakah kota itu ada cacat cela dan kekurangan. Hampir seluruh pengunjung yang disoal, memberi jawapan bahawa kota itu tidak ada cacat celanya. Cuma ada sebahagian kecil pengunjung menjawabnya bahawa kota itu ada dua kekurangan. Mereka ditahan dan dibawa mengadap raja.

"Apa lagi cacat dan cela kota ini?" soal raja. "Kota ini akan rosak dan pemiliknya akan mati." Jawab salah seorang dari mereka yang di bawa mengadap raja. Soal raja lagi, "Apakah ada kota yang tidak akan rosak dan pemiliknya tidak akan mati?"

"Ada tuanku...bangunan yang tidak rosak dan pemiliknya tidak akan mati." Jawab mereka. "Segera katakan apakah itu." Desak raja. "Syurga dan Allah s.w.t. pemiliknya," jawabnya. Mendengar cerita dari mereka tentang syurga dan segala keindahannya itu, raja menjadi tertarik dan merinduinya. Apa lagi ketika mereka menceritakan tentang keadaan neraka dan azabnya bagi manusia yang sombong dan ingin menandingi kuasa Tuhan. Mereka mengajak raja kembali ke jalan Allah s.w.t. dan hujah mereka terkesan pada raja itu. Raja meninggalkan segala kemewahan yang ada pada kerajaannya dan jadilah ia hamba Allah yang soleh.

Isnin, 4 Julai 2011

Percaya

KAMBING DAN ALAT TENUN



Imam Ahmad telah memberitakan dari Humaid bin Hilal, dia berkata: "Ada seorang lelaki yang sering berulang-alik di kampung kami, lalu dia membawa cerita yang aneh-aneh kepada orang-orang kampung.


Dia bercerita: "Suatu ketika aku datang ke Madinah dalam rombongan dagang, lalu aku menjual semua barang-barang yang aku bawa. Aku berkata kepada diriku: "Mengapa aku tidak pergi kepada orang lelaki yang membawa ajaran baru itu, barangkali aku dapat mendengar berita-berita yang aneh untuk aku bawa kembali bersamaku?! Aku pun pergi kepada Rasulullah s.a.w. untuk bertanya sesuatu, lalu Rasulullah s.a.w. menunjuki arah sebuah rumah, katanya: "Ada seorang wanita yang tinggal di rumah itu . Pernah dia mengikut tentera Islam berjihad, dan ditinggalkannya 12 ekor kambingnya dan sebuah alat tenunan yang digunakannya untuk menenun pakaian. Apabila dia kembali dari berjihad, didapati kambingnya hilang seekor, dan alat tenunannya pun hilang. Dia merasa sedih atas kehilangannya itu. Maka dia pun mengangkat kedua belah tangan berdoa kepada Tuhannya dengan penuh kesungguhan, katanya:


"Ya Tuhanku! Engkau telah berikan jaminan bahwa siapa yang keluar berjihad pada jalanmu, Engkau akan pelihara harta bendanya, dan sekarang aku telah kehilangan seekor kambing, dan alat tenunanku. jadi aku minta ganti kambing yang hilang dan alat tenunanku itu!"

Rasulullah s.a.w. terus menceritakan betapa sungguh-sungguhnya dia berdoa dan memohon kepada Tuhannya, sehingga pada esok harinya dia mendapati di pintu rumahnya kambingnya yang hilang itu dengan seekor kambing lagi bersamanya. Begitu juga dia melihat alat tenunannya ada di situ dengan satu alat tenun yang lain. Itulah ceritanya, kata Rasulullah s.a.w. dan jika engkau mahu, pergilah kepadanya di rumah itu, dan tanyalah dia cerita itu! "Tidak", jawabku, "Akan tetapi aku percaya semua yang engkau katakan itu!"





Ahad, 3 Julai 2011

Tembikai


Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhi r.h telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: "Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?."

Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut. Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya: "Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya."

Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan diapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Jumaat, 1 Julai 2011

Limau


Rasulullah SAW dengan sebiji limau.

"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira.

Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya.

Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya." Begitulah akhlak Rasulullah SAW.

Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya dipatahkankan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Perang tabuk


PADA ada suatu hari, Rasulullah dan para pengikutnya telah bermusafir untuk menghadapi Perang Tabuk. Sebelum meneruskan perjalanan, mereka singgah di suatu tempat untuk beristirehat.

Sambil beristirehat, para sahabat berjalan-jalan menuju ke satu longgokan batu-batan. Batu-batan itu adalah kesan peninggalan kaum Tsamud pada zaman Nabi Saleh.

Ketika melalui kawasan tersebut, mereka menjumpai beberapa buah perigi. Perigi-perigi itu pernah digunakan oleh kaum Tsamud sebagai sumber minuman dan ternakan mereka.


Lalu para sahabat mengambil air dari perigi itu untuk menghilangkan dahaga. Mereka juga menggunakan air tersebut untuk mengadun roti.


Apabila Rasulullah mengetahui tentang perkara tersebut, baginda melarang mereka menggunakan air itu. Baginda juga menyuruh para sahabat supaya membuang adunan roti itu untuk dijadikan makanan unta.


Kemudian Rasulullah mengajak pengikutnya berpindah ke perigi yang pernah digunakan oleh unta Nabi Saleh. Walau bagaimanapun, baginda melarang mereka memasuki wilayah kaum Tsamud yang telah diazab oleh Allah suatu ketika dahulu.


Baginda bersabda, "Aku khuatir kalau kamu akan ditimpa azab seperti yang pernah menimpa kaum Tsamud. Oleh itu janganlah kamu masuk ke wilayah mereka".


Baginda juga bersabda, "Jangan kamu menjejakkan kaki ke tempat orang-orang yang pernah diseksa, kecuali kamu menangis. Sekiranya kamu tidak boleh menangis, jangan sekali-kali kamu menjejakkan kaki ke sana jika tidak ingin ditimpa bencana seperti yang mereka alami".


Lalu baginda menyeru pengikut-pengikutnya supaya mengerjakan solat berjemaah.


"Kami berasa takjub dengan mereka, wahai Rasulullah," kata salah seorang sahabat apabila mereka melihat kawasan tersebut.


Lalu Rasulullah pun berkata, "Kamu mahu aku tunjukkan sesuatu yang lebih mengagumkan daripada itu?


Perkara itu ialah apabila salah seorang daripada kamu menyampaikan berita kepada kamu tentang peristiwa yang terjadi sebelum dan selepas kamu. Oleh itu, luruskan dirimu dan rapatkan barisanmu nescaya kamu tidak akan diazab walau sedikitpun kelak".