15 Syaaban
Dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami
mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering
berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak
pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan
Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam
sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.
Huraian Hadith:
1. Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian
kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke mana-mana
tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat
lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda
pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.
2. Dari berbagai keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian
bulan Syaaban itu ialah bulan Syaaban adalah masa untuk manusia
berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan
persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan
3. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab
adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban
adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan
pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
4. Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
i. Memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada
menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban
dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir
Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh
nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama
tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti
orang yang mati syahid."
ii. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW : "Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban,
bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan
maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya
di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik
dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
iii. Bertaubat
iv. Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu
Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran
kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat. Portal Rasmi Jakim
Ulasan