Selasa, 28 November 2017

tidur selepas Asar

Soalan: Apakah status hadith ini?

مَنْ نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ، فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ، فلا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan setiap insan atau tubuh badan manusia itu memerlukan kepada rehat secukupnya. Tidur merupakan salah satu cara untuk seseorang itu merehatkan tubuh badannya. Hal ini telah dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya yang suci:

  • Firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا
Maksudnya: “Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat. [al-Naba’ : 9]

Kata Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini, tidur itu adalah memutuskan pergerakan bagi tujuan merehatkan diri daripada banyak bergerak dan berjalan pada urusan kehidupan bagi menempuh waktu siang. [Lihat: Tafir Ibn Kathir, 307/8]

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami sertakan beberapa pendapat para ulama’ dalam menentukan status hadith ini:

  • Imam Ibn Hibban mengatakan di dalam sanad hadith ini terdapat Khalid bin al-Qasim dan dia menyambung riwayat-riwayat yang terputus, menrafa’kan riwayat-riwayat yang mursal dan juga menyambung riwayat-riwayat yang mawquf maka tidak boleh menulis riwayatnya. [Lihat: al-Majruhin, 334/1]

  • Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadith ini sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 252/2]

  • Imam al-Zahabi mengatakan di dalam sanad hadith ini terdapat Khalid bin al-Qasim yang dituduh berdusta. [Lihat: Tartib al-Mawdhua’at, 239]

  • Imam al-Haithami mengatakan perawi bernama Amr bin al-Husain seorang yang matruk. [Majma’ al-Zawaid, 119/5]

  • Imam al-Syaukani mengatakan bahawa di dalam sanad hadith ini terdapat perawi yang berdusta. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 216]

  • Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif. [Silsilah al-Ahadith al-Dhaifah, 112/1]

Berdasarkan beberapa pendapat para ulama’ di atas, kita memahami bahawa sebahagian pendapat ulama’ mengdhaifkan hadith ini dan sebahagian yang lain memalsukan hadith ini. Maka dengan itu, kami berpandangan bahawa hadith tersebut adalah teramat lemah kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dituduh berdusta. Maka dengan itu, kami nyatakan bahawa tiada hadith sahih yang melarang tidur selepas asar. Akan tetapi, jika dikatakan tidur pada waktu ini boleh menghilangkan akal berdasarkan kepada tajrubah dan ia boleh membawa kepada mudharat maka ia sebaiknya perbuatan ini mestilahlah dijauhi kerana setiap insan itu mesti mejauhkan dirinya daripada perkara yang boleh memudharatkan dirinya. Di samping itu, jika seseorang itu memerlukan atau berhajat untuk tidur pada waktu tersebut maka ia dibolehkan.

Penutup
Kesimpulannya, Allah SWT menjadikan tidur untuk kita berehat kerana pada waktu siang manusia sibuk bekerja untuk mencari rezeki. Maka tidur pada waktu malam dapat mengembalikan tenaga untuk bekerja pada keesokan harinya dan begitulah sebaliknya bagi yang bekerja pada waktu malam. Ini kerana, tanpa tidur yang secukupnya maka akan tergendalalah segala usaha yang ingin dilakukan pada hari-hari yang berikutnya. Berkaitan hukum tidur selepas waktu subuh, kami telah menjawabnya di dalam Irsyad al-Fatwa siri ke 149. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya sihat rohani dan jasmani agar kehidupan dapat diteruskan. Amin.

Wallahua’lam
http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-al-hadith/1824-irsyad-al-hadith-siri-ke-227-tidur-selepas-asar

PAYUNG EMAS


Soalan: Apakah sahih berkenaan payung emas?


Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berkenaan dengan payung emas, tidak terdapat di dalam al-Qur’an ataupun al-Hadith tentang payung emas. Ini bermakna, payung emas adalah satu rekaan semata-mata dan ia hanyalah satu perspektif yang tidak benar. Di dalam al-Qur’an memang terdapat ayat-ayat yang menyentuh tentang alam perkahwinan atau hubungan sesama suami dan isteri tetapi payung emas tidak disebut sama sekali. Begitu juga dalam al-Hadith, ada disebut tentang kelebihan seorang isteri yang mentaati suaminya dan sabar dalam menghadapi alam rumah tangga. Contoh ayat al-Qur’an yang bercerita tentang hubungan sesama suami dan isteri adalah :

Firman Allah SWT:
فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ

Maksudnya: “Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka”. [An-Nisa:34]



Di dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya dan ta'at kepada suaminya, Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, 9/471]



Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak lagi ayat al-Qur’an dan al-Hadith yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga dan juga hubungan sesama suami dan isteri tetapi tidak terdapat sepotong ayat al-Qur’an atau al-Hadith yang menceritakan tentang payung emas sebagaimana yang didakwa.

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-101 : PAYUNG EMAS
Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 18 Julai 2016

Isnin, 3 Julai 2017

Puasa

 

Firman Allah Ta’ala :

Maksudnya :
“ Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa ”.
(Surah Al-Baqarah Ayat 183)

Pengertian Puasa

Ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Puasa wajib :

Puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadhan, qada’ puasa Ramadhan,puasa kifarah,puasa nazar.

Puasa Sunat :

  1. Puasa dalam bulan Sya’ban
  2. Puasa 6 hari dalam bulan Syawal
  3. Puasa Arafah pada 9 zulhijjah
  4. Puasa hari  Tasu’a  dan  ‘Asyura pada 9 & 10 Muharram
  5. Puasa pada hari Isnin & Khamis
  6. Puasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan pada 13,14 & 15