CADANGAN PENGAMBILAN KHAS PENJAWAT AWAM KUMPULAN PELAKSANA BERKELAYAKAN IJAZAH UNTUK MENGISI JAWATAN KUMPULAN PENGURUSAN DAN PROFESIONAL (P&P)


Bertahun kita mendengar isu dan rungutan yang sama dalam kalangan penjawat awam kumpulan pelaksana apatah lagi kumpulan ini selalunya mendapat kurang keistimewaan dan kemudahan berbanding pegawai di gred P&P. Disebabkan itu sebilangan daripada penjawat awam kumpulan pelaksana ini menyahut saranan Kerajaan yang sentiasa menggalakkan penjawat awam menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam usaha melahirkan pegawai yang berpengetahuan dan mampu menguasai pelbagai kemahiran serta melaksanakan pelbagai tugas (multi-skilling, multi-tasking).


Walaubagaimanapun kini, majoriti penjawat awam kumpulan pelaksana yang telah menamatkan pengajian di peringkat ijazah masih kekal bertugas di gred sama kerana peluang dan laluan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi nampaknya tidak seperti yang diwar-warkan.





Urusan naik pangkat secara KPSL/PSL dari gred pelaksana ke gred P&P kelihatan sunyi tanpa berita. Kalau hendak diharap kepada skim perkhidmatan bersepadu yang memperuntukkan gabungan Kelayakan Masuk Pelbagai (KMP), bukan semua penjawat bernasib baik seperti rakan-rakan dalam skim perkhidmatan tertentu contohnya Kebudayaan, Latihan Vokasional, Pendidikan (DG/DH), Pendaftaran, Imigresen dan Jururawat. Permohonan jawatan ke gred P&P melalui saluran terbuka seperti di portal SPA pula nampaknya seperti tidak menyebelahi anggota pelaksana yang sedang berkhidmat. Tiada beza proses pemilihan ke sesuatu jawatan P&P yang dipohon antara penjawat sedang berkhidmat dengan pemohon yang bukan penjawat awam, sedangkan pemohon daripada kalangan sedang berkhidmat telah bertahun berada dalam sektor awam dan ada yang sentiasa mengekalkan prestasi kerja sebanyak 85% ke atas tetapi semua data dan pengalaman itu tidak langsung diambil kira kerana markah peperiksaan ONLINE memasuki perkhidmatan awam lebih diutamakan, maka perlumbaan untuk merebut peluang mengisi jawatan P&P berlaku di atas padang yang sama rata antara yang sedang berkhidmat dan yang dari luar sektor awam.


Cara yang lebih sesuai adalah kumpulan yang sedang berkhidmat melalui satu proses pemilihan khas untuk ke jawatan P&P kerana mereka berkongsi ciri dan elemen sepunya. Pihak Kerajaan dan Pihak Berkuasa Melantik (PBM) boleh merangka satu sistem pemilihan khas yang akan memadankan kelayakan ijazah pemohon dengan pengalaman bertugas di Jabatan dan keperluan di sektor perkhidmatan awam. Melalui cara ini setiap pemohon akan dikategorikan dalam kumpulan kemahiran/kelayakan tertentu contohnya seperti kewangan, pengurusan, penguatkuasaan, pendidikan, diplomatik, ekonomi, latihan dan sosial dan pemohon yang berjaya melalui proses pemilihan ini akan ditukar lantik ke jawatan P&P dalam skim perkhidmatan yang berkaitan.



PEMEGANG IJAZAH
Kuala Ketil, Kedah

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RESEPI KUIH Putu Beras

PAKORA BAWANG

Cik Atau Puan