Keldai
Pada suatu hari Luqman Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor keldai, manakala anaknya pula mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang yang berdiri di tepi jalan pun berkata, 'Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa. Dia duduk menaiki keldai sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan kata-kata dari orang ramai maka Luqman pun turun dari keldainya dan diletakkan anaknya di atas keldai.Luqman pula berjalan kaki. Melihat keadaan itu, ada pula orang di pasar berkata, "Sungguh biadap budak itu, Orang tuanya dibiarkan berjalan kaki sedangkan dia menaiki keldai."
Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang keldai bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang lain pula berkata lagi, "Lihat dua orang itu menunggang seekor keldai, alangkah siksanya keldai itu membawa beban yang berganda."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari keldai itu dan menyambungkan perjalanannya, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Ada keldai tetapi tuannya berjalan kaki. Alangkah bodohnya!"
Dalam perjalanan pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya.
Wallahualam....
Ulasan