Program Kerjasama Strategik KK - Sime Darby
TELUK INTAN 19 Feb. - Kolej Komuniti mampu menampung masalah
kekurangan tenaga kerja industri kelapa sawit tempatan dengan melahirkan
tenaga mahir dalam bidang kendalian jentera ladang.
Ini terbukti apabila 21 pelatih Kolej Komuniti Pasir Salak yang tamat
kursus sijil kemahiran jentera ladang menerima tawaran bekerja daripada
syarikat perladangan Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. (Sime Darby
Plantation) semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Kementerian
Pendidikan, Datuk Amir Md. Noor berkata, kesemua pelatih itu ditawarkan
jawatan mekanik penyelenggara kejenteraan hasil program kerjasama
strategik Kolej Komuniti bersama Sime Darby Plantation.
Menurutnya, pengambilan tenaga kerja tempatan oleh Sime Darby
Plantation diharap dapat membantu industri kelapa sawit daripada terlalu
bergantung kepada tenaga kerja asing.
Berdasarkan statistik, katanya, daripada 491,339 pekerja dalam sektor
kelapa sawit negara, 76 peratus terdiri daripada tenaga kerja asing.
"Mereka ini pekerja bukan mahir kerana bekerja tanpa menggunakan
sebarang jentera. Mereka adalah pekerja di lapangan untuk kawalan
rumpai, pengunaan baja dan pemangkasan.
"Untuk itu, Jabatan Pengajian Kolej Komuniti dengan kerjasama
syarikat Semai Alam Sdn. Bhd. mengambil inisiatif strategik dalam usaha
menangani cabaran ini dengan menganjurkan program peningkatan kemahiran
mekanik jentera ladang sawit.
"Kursus ini pelengkap kepada Sijil Modular Kebangsaan (SMK) Servis
Kenderaan Ringan," katanya selepas pelancaran Program Peningkatan
Kemahiran Mekanik Penjenteraan di Ladang Seri Intan di sini semalam.
Menurut beliau, kerjaya dalam bidang jentera perladangan yang berteknologi tinggi juga menawarkan gaji yang lumayan.
Ulasan