Isnin, 17 April 2017

Negeri Sembilan tidak bergelar sultan


TIDAK seperti ketua pemerintah di negeri lain yang bergelar raja atau sultan, Negeri Sembilan menggunakan gelaran Yang Dipertuan Besar. Ada pendapat menyatakan kemungkinan gelaran Yang Dipertuan Besar disebabkan pengaruh dari kesultanan Palembang yang wujud dalam masyarakat Minangkabau. Kesultanan Palembang dikatakan mula-mula membahasakan Yang Dipertuan kepada rajanya yang membawa maksud raja yang dituankan itu adalah dijemput.
Penggunaan gelaran itu di Negeri Sembilan menurut Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali ada kisah dan sejarahnya yang selalunya dimulakan dengan kehadiran seorang anak raja dari Minangkabau yang bergelar Raja Melewar.
“Namun, sebelum pertabalan Raja Melewar, sudah ada raja Minangkabau yang menduduki takhta negeri tersebut iaitu Raja Adil, Raja Kasab dan Raja Khatib.
“Sejarah awal kehadiran raja berkenaan ke Negeri Sembilan bagaimanapun tidak jelas namun, ada catatan yang menyatakan mereka sudah berada di negeri tersebut,” katanya.
Menjadi tanda tanya mengapa negeri yang sudah ada raja, penghulu atau undang sebelum ini memerlukan seseorang untuk mengetuai luak-luak ini dan menjadi Yam Tuan (sebelum gelaran Yang Dipertuan) di Negeri Sembilan.
Dalam hal ini, Dr. Abdullah berkata, ia sering kali dikaitkan dengan kebimbangan masyarakat dan pembesar keturunan Minangkabau terhadap perkembangan pengaruh dan kuasa orang Bugis yang bertapak di Linggi bermula pada 1722.
“Opu Bugis lima bersaudara iatu Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi dikatakan membantu nelayan Bugis yang berselisih dengan pengikut-pengikut penghulu Linggi.
“Penghulu Linggi yang menyedari tidak mampu menentang angkatan Bugis lima bersaudara itu kemudian meminta bantuan Raja Kechil yang menduduki takhta kerajaan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.
“Bagaimanapun, ketika perang di Linggi, Raja Kechil telah dikalahkan dan terpaksa berundur ke Siak sementara Johor ditawan kembali oleh Opu Bugis lima bersaudara. Maka bertapaklah Bugis di Linggi. Oleh sebab itu, sehingga kini kebanyakan yang duduk di Linggi berketurunan Bugis,” katanya.
Penguasaan Bugis di Linggi mencetuskan kebimbangan, sekali gus mendorong Penghulu dan Undang mengambil keputusan menjemput seorang anak raja dari Pagar Ruyung untuk ditabalkan sebagai raja di Negeri Sembilan.
Raja Melewar tiba di Negeri Sembilan dan ditabalkan sebagai Yang Dipertuan di Penajis, Rembau pada 1773 dan seterusnya bersemayam di Seri Menanti.
“Raja Melewar bagaimanapun tidak menjadi pengasas kepada kerajaan Negeri Sembilan meskipun mempunyai putera, namun keturunannya tidak dilantik sebagai Yang Dipertuan ketika itu.
“Para pembesar bermesyuarat dan membawa seorang lagi anak raja dari Pagar Ruyung yang dikenali sebagai Raja Hitam untuk menduduki takhta kerajaan. Keturunan Raja Hitam juga tidak mewarisi pemerintahan kerajaan itu dan sekali lagi pembesar menjemput anak raja lain dari Pagar Ruyung iaitu Raja Lenggang.
“Raja Lenggang kemudian menjadi pengasas kerajaan Negeri Sembilan kerana puteranya Tunku Radin menjadi Yang Dipertuan Besar (1830) diikuti puteranya yang kedua, Tunku Imam (1861 hingga 1869),” katanya.
Pertabalan Tunku Radin sebagai Yang Dipertuan Besar menggantikan ayahnya menunjukkan berakhirnya penjemputan anak-anak raja dari Minangkabau menduduki takhta di Negeri Sembilan.
– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/ketua-negeri-tidak-bergelar-sultan-1.163012#sthash.sRAdokNU.dpuf

Tiada ulasan: