BATU KECIL


Mungkin ada sesekali dalam hidup kita, masa bersesak-sesak di pasaraya, bazar ramadan atau tengah beli baju raya di waktu kemuncak, tiba-tiba ada sebiji batu kecil termasuk dalam kasut yang kita pakai.
Mula-mula kita akan rasa tidak selesa dengan "kehadiran" batu tersebut, semakin lama semakin tidak selesa. Hendak dibuang, tidak ada waktu dan ruang yang sesuai, sedang bersesak-sesak, mana mungkin, kalau berhenti di tengah-tengah jalan pasti dilanggar lautan manusia yang lalu lalang disitu.
Semakin jauh kita melangkah, mula timbul masalah, batu kecil tadi mula menyebabkan tapak kaki rasa sakit, mungkin melecet atau melepuh. Kita kuatkan semangat dan terus berjalan lagi hingga tiba ke parkir kenderaan tapi masalahnya jarak ke parkir masih jauh lagi. Kita mula mengeluh, batu kecil mula memberi kesan.
Nampak kecil tapi impaknya besar. Perjalanan yang masih panjang mula terhincut-hincut dek kerana seketul batu kecil.
Alangkah gembiranya hati apabila batu kecil itu berjaya keluar dari tapak kasut, tapi kesan dan parut pasti masih ada terkesan.
Benda paling kecil pun mampu beri kesan yang besar, apatah lagi benda yang besar pasti berganda kesannya pada sesuatu keadaan.
Moleknya Melayu kerana ada pepatah, buang lah yang keruh, ambil lah yang jernih.
Juga pesan Melayu dulu-dulu, kalau tak mampu jadi garam yang mengawet ikan masin, jangan pula jadi lalat yang merosakkan ikan itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RESEPI KUIH Putu Beras

PAKORA BAWANG

Cik Atau Puan