PULAU CHNSOM

CATATAN PENGALAMAN
KEMBARA ANAK WATAN
PULAU CHNSOM
GUBIR SIK KEDAH
11-13 JULAI 2019 (KHAMIS –SABTU)
EPISOD 2 DARIPADA 4
11 JULAI 2019 (HARI PERTAMA)
Seawal jam 7.00 pagi kami mula berkumpul di dataran untuk sedikit taklimat, semakan kehadiran, pembahagian barang kepada 9 kumpulan dan sarapan pagi sebelum mula bergerak ke jeti Gubir menaiki kenderaan yang telah disediakan. Jumlah peserta yang ramai menyebabkan kami terpaksa membahagi tugas dan giliran untuk ke Pulau Chnsom. Sebelum bergerak ke Pulau, kami membuat aktiviti gotong-royong di sekitar jeti dan semua kumpulan ditugaskan membersihkan kawasan mengikut tempat yang telah ditetapkan. Sebanyak 30 beg plastik sampah besar digunakan untuk tujuan gotong-royong ini.
Kemudian beberapa buah kenderaan lain tiba di jeti membawa bot tambahan untuk kegunaan pengangkutan kami ke Pulau tersebut. Waktu yang direkodkan ketika itu adalah pada jam 10.30 pagi. Usaha menurunkan 2 bot tambahan ke pesisir tasik Gubir memberi pengalaman baru dan sangat mencabar. Ia mengimbau kenangan lama dahulu ketika orang-orang kampung mahu mengangkat dan mengubah lokasi rumah kampung papan bertiang tingkat atas. Begitulah metaforanya. Hampir semua peserta lelaki sama-sama mengerah kudrat menurunkan bot dari kenderaan dan mengangkat beramai-ramai ke permukaan air. Sungguh program ini sangat membutuhkan tenaga kelelakian sebenar. Urat-urat di dahi, leher, lengan dan kaki mula timbul umpama baru sahaja selesai bersenam mengangkat besi di gymnasium.
Hampir jam 11.00 pagi kami mula bergerak ke Pulau dengan pergerakan dimulakan dengan kumpulan 1, 2 dan 3 manakala kumpulan-kumpulan lain dikehendaki menunggu di satu kawasan yang telah ditetapkan. Untuk pergerakan kumpulan-kumpulan pertama ke Pulau, aku ditugaskan untuk bergerak dahulu bersama semua peserta kumpulan terawal ke sana. Apabila di sana nanti aku ditugaskan untuk memastikan keadaan dan kedudukan peserta adalah terkawal. Maka bermulalah proses pengangkutan peserta menaiki 3 buah bot yang mengambil masa diantara 15 ke 20 minit perjalanan sehala bagi sebuah bot.
Sebelum tiba di sana, aku telah mula berfikir cara untuk mengatur semua peserta yang telah tiba dahulu di Pulau kerana kami perlu menunggu semua peserta tiba di tapak kem untuk aktiviti seterusnya. Apabila kami tiba di Pulau aku mengatur semua peserta kumpulan awal untuk berkumpul dan beratur di kawasan berhampiran pesisir tasik bersama beg masing-masing dan ini bermaksud kami belum lagi berjalan mendaki ke tapak kem yang terletak dalam jarak 200 meter di atas Pulau dari pesisir. Sebab utama aku berkeputusan begitu adalah kerana aku tidak mahu semua peserta berkumpul di atas dan kami tidak dapat membantu kumpulan-kumpulan kemudian yang baru tiba di Pulau kerana kami telah berada 200 meter jauh ke dalam Pulau. Kalau dibayangkan memang jarak 200 meter itu adalah pendek tetapi pergerakan turun naik dari tapak kem ke pesisir tasik sudah tentu memenatkan apatah lagi sekiranya melibatkan penggunaan suara untuk arahan dan makluman. Tentu sangat meletihkan tambahan pula ketika itu matahari telah semakin meninggi dan hampir terpacak tegak di atas kepala.
Apabila semua peserta telah tiba maka kami semua beramai-ramai berjalan mendaki ke arah tapak kem dan perkara pertama yang kami lakukan adalah dengan mencari dan menetapkan tempat untuk solat. Setelah beberapa minit meneliti keadaan sekeliling maka kami majoriti berkeputusan untuk mewujudkan hamparan kanvas 15 kaki X 18 kaki sebanyak 3 helai di satu kawasan lapang bersebelahan khemah kenduri yang telah kami dirikan semalam di hujung tapak kem iaitu tempat yang dikhususkan untuk wanita. Ini adalah kerana kami kekurangan ruang luas yang boleh digunakan untuk menunaikan solat secara berjemaah. Kawasan ini sahaja satu-satunya kawasan rata dengan halangan pokok yang paling kurang manakala kawasan lain adalah sedikit berbukit dan dipenuhi pokok-pokok kecil. Seusai solat, kami semua berkumpul mengikut kumpulan dan beratur untuk mengambil makanan tengahari. Makanan mestilah dimakan dalam kumpulan masing-masing dengan menggunakan palstik shell out beramai-ramai seperti makan di dalam dulang ketika di sekolah asrama dahulu. Makanan utama yang disediakan untuk tengahari adalah ayam masak kicap yang sangat sedap.
Selesai makan dalam jam 3.00 petang, kami mula mengemas peralatan makan kumpulan masing-masing dan mula berkumpul untuk mendirikan khemah tambahan bagi penginapan peserta lelaki dan wanita. Dengan menggunakan kain kanvas besar, kami mendirikan khemah ringkas menggunakan tali rafia tebal. Keadaan kawasan yang berbukit dengan pokok-pokok kecil agak menyukarkan kami untuk mendirikan khemah. Walaubagaimanapun menjelang jam 4.00 petang kami telah mula semakin pantas melengkapkan setiap khemah yang didirikan kerana keadaan petang itu sudah semakin redup dan mendung. Angin laju bertiup mula kelihatan di sebalik ranting dan daun pokok yang mula melentok ke kiri dan kanan. Hujan mula turun membasahi Pulau Chnsom saat aku menghabiskan ikatan simpul belit terakhir untuk khemah peserta lelaki di sebatang pokok.
Menjelang 5.00 petang hujan mula berhenti tetapi tidak sepenuhnya, walaubagaimanapun kawasan khemah memang telah basah kerana jenis khemah ini adalah khemah terbuka. Kami berkumpul mengikut kumpulan untuk solat Asar dan kemudian minum petang. Selepas itu semua kumpulan berkumpul bersama ketua masing-masing untuk sesi icebreaking ringkas sebelum masing-masing mula setup kawasan khemah untuk mewujudkan lantai khemah dengan menyusun kayu / buluh di bawah khemah dan kemudian meletakkan papan plywood untuk keselesaan peserta tidur malam. Kemudian kami semua makan malam dengan menu nasi putih, ikan kembong goreng, sambal telur dan air asam. Semua proses ini selesai menjelang jam 7.00 malam. Kemudian semua peserta bersiap untuk solat Maghrib bersama-sama sebelum diteruskan dengan kuliah Maghrib. Kuliah Maghrib dibuat di bawah khemah hidangan makanan yang bersebelahan dengan khemah memasak dan bukannya dibuat di tempat solat berjemaah di kawasan wanita.
Menjelang Maghrib itu juga seorang peserta MSH mengadu pening dan migraine, mungkin akan demam, maka aku minta dia baring di khemah. Aku juga minta dia menjamah sedikit makanan sebelum diberi ubat. Selepas itu aku minta dia berehat di bawah khemah yang baru kami siapkan tadi. Aku juga pastikan dia sapu ubat menghalau nyamuk untuk mengelakkan gangguan dari semua jenis serangga dan unggas melata. Kemudian aku terus ke bawah khemah hidangan makanan untuk sama-sama mendengar kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz.
Baru sahaja aku sertai semua kumpulan mendengar kuliah Maghrib, aku didatangi Penghuluwati dari arah hujung tapak kem iaitu tempat penginapan peserta wanita.
“ada sorang tu dia tak boleh nak bangun.” Kata Penghuluwati.
“kenapa?” soalku.
“entah, mungkin dia kena tindih kot sebab dia rasa berat tapi dia masih boleh bercakap.” Jawab Penghuluwati.
“namanya?” soalku.
“NS.” Jawab Penghuluwati.
Aku lantas menyemak senarai nama ahli kumpulan dan selepas menemukan nama tersebut dalam kumpulan 2 maka aku maklumkan kepada ketua kumpulan tersebut untuk pergi melihat dan cuba ikhtiar apa tindakan awal yang boleh dibuat. Ketua kumpulan tersebut terus bersama beberapa lagi ahli kumpulan pergi ke hujung tapak kem di kawasan penginapan wanita untuk melihat keadaan tersebut manakala aku kekal di bawah khemah untuk terus mendengar kuliah Maghrib. Selang 10 minit kemudian, Penghulu pula yang datang dan terus berbisik kepada Ustaz.
“Baik, setakat ini dahulu kuliah Maghrib kita untuk kali ini. Assalamualaikum”. Ustaz terus menghentikan kuliahnya serta-merta. Tindakan segera itu telah menimbulkan syak semua peserta lelaki dan wanita yang berada di bawah khemah kerana bukan semua peserta tahu akan insiden yang sedang berlaku itu. Ustaz bingkas bangun diiring Penghulu ke hujung tapak kem yang menjadi tempat penginapan peserta wanita. NS awalnya tidak sihat dan disebabkan itu dia tidak menyertai kuliah Maghrib bersama-sama kami dan dia ditemani oleh beberapa kawan wanita di khemah penginapan. Pemergian Ustaz ke tempat insiden meninggalkan seribu satu tanda tanya kepada semua peserta di bawah khemah hidangan makanan. Masing-masing mula berbisik diantara satu sama lain mencari jalan cerita dan punca kerana semua peserta diarah untuk kekal berada di bawah khemah hidangan makanan tersebut.
Peluang yang ada ini telah diambil oleh aku untuk membantu AA mengubah kedudukan khemahnya ke lokasi baru yang berdekatan dengan khemah dapur dan khemah MFS. Asalnya AA mendirikan khemah igloo milik beliau di hujung sudut lain tetapi disebabkan apabila tiba waktu malam, keadaan di kawasan itu menjadi agak gelap dan lebih basah impak air hujan yang turun lebat petang tadi. Waktu itu jam menunjukkan pukul 8.45 malam. Sedang dalam proses mengemas khemah dan mengangkat barang dalam khemah, tiba-tiba semua peserta kem dikejutkan dengan bunyi perempuan menjerit yang sangat nyaring.
“Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa.”
Jeritan itu datang dari kawasan hujung tapak kem tempat penginapan peserta wanita dan suara itu adalah suara NS yang telah dirasuk oleh jin di kawasan itu. Jeritan nyaring itu disebabkan oleh Ustaz memaksa jin itu untuk keluar daripada tubuh badan NS. Jin itu pula berdegil tidak mahu keluar tetapi jika dia dipaksa keluar dia letakkan tiga syarat. Syarat pertama adalah 3 orang lelaki dan 3 orang wanita mesti mati malam itu. Syarat kedua adalah darah perempuan datang haid dan syarat ketiga adalah seorang lelaki dan seorang perempuan mesti terus tinggal di pulau itu. Jika syarat ini dipenuhi baru dia akan keluar. Aku menelan air liur beberapa kali apabila mendengar ketiga-tiga syarat tersebut. “Ini syarat gila babi ni” getusku dalam hati. Namun Ustaz terus memaksa jin itu untuk keluar tanpa mengendahkan sebarang syarat yang diberikan oleh jin tersebut. Jeritan itu berulang beberapa kali dan pada jeritan kali kedua, AA mula berkata sesuatu.
“Aduhhh, saya tak boleh nak dengar jeritan-jeritan macam ni sebab nanti saya akan terbukak langkah dan bunga silat ni kang” kata AA serius.
Aku mula pelik dengan kata-kata AA tapi aku cuba tenangkan hati aku yang sedang mengemas khemah bersama AA.
“Nak bersilat buat apa? Biar depa selesaikan keje depa dan kita selesaikan keje kita dekat khemah ni.” Balas aku tegas.
“Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa.”
Sekali lagi jeritan nyaring itu memecah keriuhan di kawasan tapak kem dan semua peserta seperti buntu dan bingung dengan apa yang sedang berlaku.
“Ishhh, saya nak menangis dah ni. Boleh tak saya nak mintak masa sekejap?” Soal AA.
“Kenapa? Apesal dengan kau ni? Kau nak buat ape” Soalku bertalu-talu.
“Dia ada kat sini.” Jawab AA ringkas.
Aku mula tidak sedap hati kerana memang kami ramai di tapak kem tersebut tetapi di kawasan khemah AA itu, hanya kami berdua sahaja yang ada di situ untuk mengubah khemah AA ke lokasi bersebelahan khemah masak sementara menunggu Ustaz selesai menguruskan pelajar yang sedang sakit itu. Perkataan ‘dia’ ada kat sini yang dilontar oleh AA telah menyebabkan hati aku tak keruan tapi aku masih lagi boleh kawal dan cuba tenangkan keadaan.
“Ape yang kau cakap ni? Takde ape lah.” jawabku cuba mengawal emosi takut yang menghambat sambil memandang tepat arah wajah AA yang sedang berdiri di hadapan aku.
“Takpe. Takpe. Sekejap je. Sekejap ea.” Jawab AA lantas berpusing ke arah kiri (kanan aku) yang gelap dan mengucapkan salam dengan perlahan serta beberapa butir patah perkataan yang aku tidak faham.
Berderau darah aku melihat tindakan AA begitu dan aku hampir memecut lari meninggalkan AA di situ tetapi kaki aku seperti telah terpasak di bumi dan mulut aku tiba-tiba menjadi bisu. Aku hilang punca tapi aku cuba tenangkan diri aku sendiri kerana jika aku menjerit dalam keadaan sekarang maka keadaan akan menjadi bertambah buruk. MFS yang baru datang untuk membantu kami juga hilang punca kerana terkejut dengan tindakan dan perlakuan AA.
“Takpe, dia datang melawat anak cucu dia.” Kata AA sambil tersenyum melihatku dan MFS.
Aku terus senyap kerana tidak mahu memanjangkan isu. Aku cepat-cepat mintak AA untuk segera mengubah khemah bersama-sama dan kebetulan waktu itu Ustaz juga telah selesai mengeluarkan jin yang telah mengganggu NS.
Kemudian semua peserta sama-sama bersiap sedia untuk solat Isya walaupun agak lewat kerana insiden yang berlaku tadi. Jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Sebelum solat aku teringatkan MSH yang terbaring sakit di bawah khemah lelaki dan aku terus pergi mendapatkannya kerana aku mula jadi risau dengan setiap peserta yang sakit impak daripada insiden-insiden pelik yang berlaku tadi. Ketika aku tiba di khemah tempat MSH berbaring, aku lihat dia sedang tidur tanpa sebarang tanda-tanda pelik dan aku berasa sangat lega.
Selesai Isya, semua peserta yang sakit termasuk NS dan MSH telah dibuat keputusan untuk dihantar pulang dalam 1 bot dengan diiringi beberapa fasilitator manakala semua peserta lain berkumpul dalam kumpulan dan diberi sedikit taklimat sebelum diberi sedikit air penawar untuk membasuh muka sebagai pendinding.
Malam itu hampir jam 10.00 malam, bot tidak berbumbung yang memuatkan 8 orang termasuk tekong dan fasilitator bergerak dari pesisir pantai Pulau membawa NS, MSH dan beberapa pelajar lain membelah pekat malam dan mengombak air tasik yang tenang menuju ke jeti Gubir. Malam itu bulan seperti malu untuk menunjukkan diri dan cahayanya mungkin kerana jeritan nyaring NS sewaktu di tapak kem tadi. Tempoh perjalanan menaiki bot yang memang panjang itu bertambah panjang apabila keadaan kiri kanan dan suasana sekeliling gelap gelita tanpa sebarang petunjuk cahaya. Sensasi sejuk dan dingin malam itu menambah debar di hati yang sedang menaakul jalan cerita malam itu. Keadaan resah gelisah yang tidak bernoktah itu bertambah meruncing apabila badan NS semakin bergetar selari dengan pergerakan bot menuju ke tengah tasik.
“Nampak apa pun, dengar apa pun, jangan tengok, jangan toleh, jangan jawab!” jerit kuat si tekong bot di tengah tasik yang sudah tentu berpengalaman melalui insiden-insiden sebegini.
NS mula memberi respon kepada kata-kata tekong dengan menekup kedua-kedua telinganya. Seperti NS cuba untuk tidak mendengar kata-kata yang sedang berbisik ke telinganya dari arah kiri kanan dan atas kepalanya. NS mula merintih dan menggerakkan badan untuk bebas seperti dia sedang lemas dihenyak dan ditindih dari atas bahu dan kepala. Semakin lama keadaan NS semakin meruncing. Fasi yang bertindak menjaga NS juga mula mengemaskan genggaman tangan ke badan NS yang sedang duduk itu. Setelah itu NS mula menjerit dan seperti mahu berdiri mungkin kerana telah letih dan lemas seperti dihempap oleh sesuatu.
“Jatuhkan dia ke belakang dan pegang kuat-kuat” jerit tekong lagi.
Sepantas kilat semua fasi mencapai tubuh badan NS yang baru hendak berdiri dan menarik serta menjatuhkan badannya ke belakang dalam keadaan terlentang. NS masih menjerit dan semua fasi terus tegap memegang NS dengan sepenuh kudrat dan daya mereka kerana jika terlepas daripada pegangan fasi, maka NS pasti akan terjun ke dalam tasik di tengah gelap gelita itu. Bot yang tadinya bergerak stabil sekarang teroleng-oleng seperti dipukul ombak besar. Detik cemas ini telah menghilangkan semua urat nadi dan darah semua peserta di dalam bot itu seketika.
Tekong mula membaca sesuatu dan mengubat NS ketika itu juga sambil bot bergerak ke arah jeti dan lampu-lampu dari daratan di sebelah jeti Gubir mula kelihatan seolah-olah memberi sinar baru dan harapan kepada semua yang terlibat dalam insiden penuh debaran yang baru berlaku sebentar tadi. Pergerakan seterusnya semua peserta adalah dengan menggunakan van untuk kembali ke tempat permulaan kami bertolak pagi tadi iaitu di dataran kolej di Sik dan semua peserta yang sakit dijemput oleh waris masing-masing melalui persetujuan yang telah dibuat melalui panggilan telefon. Walaubagaimanapun waris NS yang tinggal di Pulau Pinang pula minta kerjasama untuk menghantar NS sehingga ke Tol Gurun kerana perjalanan ke Sik dari Gurun akan melalui satu kawasan dinamakan Jentayu dan kawasan itu telah menjadi bualan ramai penduduk tempatan dan juga mereka yang kerap lalu lalang di kawasan tersebut. Kawasan itu popular dengan mahkluk berjalan tanpa kepala, makhluk setinggi tiang elektrik melambai-lambai dan mahluk berbungkus putih bergolek atau tergantung di tengah dan sisi jalan atau di pokok. Jam pada waktu itu hampir menuju ke waktu tengah malam.
Dengan bantuan pemandu dan beberapa fasilitator, mereka gagahkan juga menghantar NS ke Tol Gurun untuk dijemput oleh waris. Perjalanan pergi dan balik ke Tol Gurun dari arah Sik berjalan lancar dan pemandu serta semua fasi tidur di kawasan kolej sementara menunggu hari siang untuk kembali ke Pulau bagi meneruskan aktiviti berikutnya. Jam pada waktu itu menunjukkan hampir pukul 3.00 pagi.
Dalam pada itu keadaan di tapak kem juga telah terkawal dan semua peserta kem berada di khemah masing-masing. Keadaan menjadi sunyi sepi serta hening tetapi debaran dan perasaan yang bermain dan bertingkah di fikiran setiap peserta dan fasi pada malam itu pasti tiada penghujungnya. Aku dengan berselimutkan sleeping bag duduk di atas kerusi panjang bersandar sambil memerhatikan keadaan sekeliling pada setiap khemah penginapan peserta yang sedang tidur dihembus angin embun pulau dan aku hanya mengharapkan semoga hari esok menjanjikan peristiwa yang lebih elok dan manis untuk dikenang.
Akankah esok membuka lembaran baru bahagia atau hanya sekadar menambah derita?
(TAMAT EPISOD 2)
(BERSAMBUNG …)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RESEPI KUIH Putu Beras

PAKORA BAWANG

Cik Atau Puan